FACEBOOK adalah rangkaian media sosial yang paling pantas berkembang
pada masa kini dan dianggarkan hampir separuh daripada pengguna Internet
dunia mempunyai akaun Facebook. Setiap hari beribu-ribu pengguna baru
mendaftarkan diri untuk menggunakannya.
Pada saat artikel ini ditulis, terdapat 12,268,300 penduduk Malaysia
yang mempunyai akaun Facebook iaitu hampir separuh daripada jumlah
penduduk dan nombor itu juga mewakili 70 peratus daripada populasi dalam
talian Malaysia.
Fakta-fakta itu menyokong mengapa Facebook menjadi laman web nombor
satu paling ramai dilayari di Malaysia dan juga kebanyakan negara lain.
Bayangkan potensi yang sangat besar ini serta pengaruh yang boleh
dibawa melaluinya untuk membina jenama dan seterusnya mempromosikan
sebarang produk atau perkhidmatan kepada 12 juta bakal pelanggan! Satu
peluang yang seharusnya direbut segera oleh mana-mana usahawan untuk
melonjakkan perniagaan mereka.
Jika dibandingkan dengan medium lain seperti akhbar, majalah, radio
dan televisyen, Facebook mempunyai kelebihannya yang tersendiri dalam
menghubungkan terus pelanggan kepada perniagaan anda kerana sifatnya
sebagai ruang untuk bersosial.
Manusia secara semulajadinya memang memerlukan kehidupan sosial
tetapi kesibukan harian untuk bekerja dan mencari rezeki telah
membataskan keperluan itu, tetapi apabila Facebook muncul, ia bagai
mengisi kekosongan dalam jiwa mereka.
Tetapi persoalannya bagaimana untuk mengeksploitasikan kelebihan ini
semaksimumnya untuk kebaikan perniagaan dan keusahawanan? Jika
diperhatikan pada wall bila kita masuk ke dalam akaun Facebook,
saya percaya anda mungkin sudah boleh lihat pelbagai ragam orang dalam
mempromosikan apa-apa produk dan perkhidmatan mereka.
Ada sebahagiannya mengiklankan terus dengan memberikan pautan, memaparkan gambar produk, menandakan (tag)
nama anda pada imej tertentu, mempromosikan tawaran-tawaran diskaun dan
lain-lain. Ini adalah minda pengiklanan cara lama yang dibawa dari
medium-medium tradisional. Dalam dunia teknologi, orang mudah meluat
dengan pengiklanan seperti itu dan di dalam Facebook mereka mempunyai
kuasa untuk menapisnya atau memblok terus.
Teknik menanda gambar produk dengan nama rakan-rakan juga sebenarnya
agak tidak senonoh dan seringkali membuatkan orang tidak selesa.
Bayangkan jika ada rakan menampalkan iklan mereka di atas belakang kita
tanpa disedari dan kita berjalan-jalan di tempat awam. Nampak bodoh
bukan?
Kadang-kadang kita juga mungkin ada menerima permintaan dari 'Kedai
Emas', 'Jom Cuti', 'Karipap Sedap' atau nama-nama pelik lain lagi untuk
menjadi rakan Facebook anda.
Cuba fikirkan, jika kita suka pada karipap, kita sudah tentu tidak
akan berkawan dengan karipap, tetapi sebaliknya dengan orang yang
membuat karipap itu, kerana karipap tidak boleh bersosial, begitu juga
dengan kedai atau apa-apa jenama, sebaliknya kita bersosial dengan
manusia. Komunikasi sebenar hanya wujud bila ada sentuhan nurani manusia
dalam jalinan perhubungan. Ingat, Facebook adalah medium sosial.
Menggunakan Facebook sebagai medium untuk mempromosikan jenama atau
perniagaan, anda kena lakukannya secara berhemah dan betul. Membuka
akaun kedua atau menggunakan nama perniagaan sebagai profil di Facebook
bukan sahaja salah di sisi peraturan Facebook tetapi juga adalah kaedah
yang tidak profesional dan boleh merosakkan jenama perniagaan kita dalam
jangka masa panjang.
Cara yang sepatutnya ialah dengan menghasilkan laman Facebook anda
sendiri, ia adalah seperti membina laman web di dalam Facebook tetapi
lebih mudah. Sebelum ini laman Facebook banyak digunakan oleh artis atau
komuniti tertentu untuk membina laman peminat (fan page), tetapi
keupayaan sebenarnya adalah jauh dari itu. Anda boleh mengendalikan
perniagaan dalam talian anda sepenuhnya melalui Facebook tanpa memiliki
laman web pun!
Untuk mencipta laman untuk perniagaan anda sendiri adalah cukup mudah, hanya klik pada pautan Create A Page
pada bahagian bawah Facebook dan kemudian pilih kategori, muat naik
logo atau gambar profail syarikat, masukkan maklumat asas, jemput
rakan-rakan dan semuanya siap dalam masa seminit-dua sahaja.
Anda boleh menggunakan laman yang dihasilkan itu untuk tujuan
perniagaan anda, sama ada untuk mendidik bakal-bakal pelanggan tentang
produk atau perkhidmatan perniagaan anda, memaklumkan tentang apa-apa
aktiviti atau perkembangan terbaru, serta membuat promosi tentang apa
yang anda jual.
Laman itu juga berfungsi sebagai ruang untuk anda melayan kerenah
pelanggan ibarat talian khidmat pelanggan seperti yang dimiliki oleh
syarikat dan korporat besar!
Apa yang anda perlu lakukan di peringkat awal ialah untuk mengajak seramai mungkin rakan-rakan untuk like laman anda, serta menggalakkan mereka berkongsi laman anda dengan rakan-rakan mereka yang lain pula.
Jika profail Facebook anda hanya dibenarkan mempunyai sekitar 5,000
rakan sahaja, tetapi laman Facebook anda boleh mempunyai pengikut dan
peminat yang tiada hadnya walaupun berjuta.
Menggunakan laman itu juga, anda tidak lagi perlu 'menceroboh' dan menulis di wall orang lain untuk membuat promosi, sebaliknya apa yang anda tulis di laman anda akan tersiar di wall setiap pengguna Facebook yang like laman anda tidak kira sama ada mereka rakan anda atau tidak, dan ini semuanya adalah percuma!
Apa yang penting, anda perlulah rajin untuk menulis dan
mengemaskininya dengan kandungan yang bermanfaat kepada pengguna.
Contohnya jika anda adalah pengusaha karipap segera, anda boleh gunakan
laman itu untuk berkongsi cerita tentang kenapa karipap segera wajar
menjadi barangan runcit yang sentiasa perlu dibeli oleh suri rumah yang
tidak punya masa untuk membuat karipap sendiri. Saya percaya ramai
peminat karipap yang suka makan karipap tetapi tidak tahu bagaimana atau
tidak ada masa untuk membuatnya sendiri.
Sesekali berkongsilah apa-apa cerita lucu yang berkaitan dengan
karipap. Sesuatu yang lucu seringkali mudah menyentuh perasan orang dan
mereka senang hati untuk berkongsi cerita itu dengan rakan-rakan mereka
pula.
Orang selalunya akan berkongsi cerita yang menarik atau berguna
dengan rakan-rakan mereka. Perhatikan apa yang dibualkan oleh
pakcik-pakcik yang lepak di kedai kopi dan perhatikan apa yang
digosipkan apabila makcik-makcik bertandang ke rumah jiran. Dalam
bersosial tidak kira di mana, manusia memang cenderung untuk berkongsi
cerita, dan tidak terkecuali Facebook, sebab itulah ada pautan untuk
berkongsi (share).
Apabila pengguna Facebook berkongsi cerita dari laman anda, tanpa
disedari mereka sebenarnya sedang mempromosikan perniagaan anda, dan
cara halus sebegini sebenarnya lebih berkesan berbanding iklan
biasa-biasa seperti "Dapatkan karipap paling sedap di dunia!".
Dalam menjadikan laman perniagaan anda lebih menarik, gunakanlah
gambar atau imej yang bersesuaian. Anda boleh muat naik gambar-gambar
mengenai produk anda, majlis-majlis yang berkaitan dan juga mungkin
mempelawa para pelanggan anda mengirimkan gambar-gambar mereka bersama
produk anda.
Bila bersedia, anda boleh memulakan langkah seterusnya untuk
'mencanggihkan' lagi laman tersebut dengan ciri-ciri tambahan yang
disediakan oleh Facebook sendiri ataupun melalui pihak ketiga. Ini
termasuklah untuk memasukkan video sehinggalah kepada menyediakan
kemudahan tempahan dan bayaran secara dalam talian, semuanya melalui
laman Facebook itu.
No comments:
Post a Comment